Tuesday 26 March 2013

Mampukah Rozita?

TANPA sebarang pengalaman mengacara, pelakon jelita Rozita Che Wan ‘menang tender’ apabila dipilih sebagai peneraju majlis berprestij, Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 November nanti.

Bakal bergandingan dengan pengacara berpengalaman, Ally Iskandar, pemilihan bintang drama, Kiah Pekasam ini nyata mengejutkan ramai pihak yang berasakan ada calon lebih sesuai dan layak menerajui posisi sebagai pengacara berbanding dirinya.



Seakan-akan sudah menjangkakan tanggapan itu, Rozita tenang menghadapi pertanyaan demi pertanyaan, malah mengakui sudah mempersiapkan mental dan fizikal untuk menghadapi tohmahan kelak serta tegas mempertahankan keputusannya.

“Dikritik atau orang mengata itu bukan perkara baru. Kalau buat baik pun orang mengata dan jahat pun orang mengata. Jadi apa saja orang nak cakap, itu saya tidak ambil kisah. Hanya komen yang membina saja akan saya jadikan contoh. Saya terima tawaran ini kerana peluang hanya datang sekali seumur hidup.

Kalau ada peluang kedua itu bagi saya adalah kebetulan. Dulu saya tak reti berlakon tetapi bila sudah cuba, tidak sangka boleh juga berlakon dan sekarang ini ia menjadi periuk nasi saya.

“Begitu juga dengan bidang pengacaraan, selagi kita tidak mencubanya selama itu kita tidak akan tahu kemampuan diri yang sebenar. Selain mahu mencuba sesuatu yang baru dan di luar bidang kerjaya saya, peluang ini saya terima untuk mencabar kemampuan diri.

“Tambahan pula bukan semua artis tempatan dapat memperoleh peluang ini. Saya bertuah kerana TV3 memilih saya,” katanya.

Akui wanita tinggi lampai itu, dia mengambil masa dua ming�gu untuk membuat keputusan kerana dia sedar tidak punya pengalaman atau bakat dalam bidang pengacaraan. Namun, galakan serta sokongan daripada Ally Iskandar serta ‘team’ ASK2011 meyakinkan dirinya untuk mencuba.

Rozita juga menafikan dakwaan dirinya dipilih kerana kisah kehidupannya yang penuh sensasi serta kecantikan yang dimilikinya mampu menarik perhatian orang ramai.

“Sebelum disahkan sebagai pengacara ASK2011, saya terpaksa mengikuti proses uji bakat yang khabarnya turut dihadiri beberapa rakan artis termasuk pengacara berpengalaman. Namun, syukur saya menjadi pilihan TV3 kerana mereka dapat melihat keserasian antara saya dan Ally.

“Saya sedar saya tidak punya pengalaman namun dengan latihan yang bakal dijalani kelak bersama Ally dan pihak produksi, saya berharap dapat membantu saya membuat yang terbaik pada majlis anugerah itu nanti,” katanya.

Sementara itu, Ally Iskandar memaklumkan dia sudah lama mengenali Rozita dan antara mereka memang mempunyai keserasian. Cuma ia berbeza apabila mereka digandingkan sebagai pengacara.

“Apabila kami berganding, bukan hanya Rozita perlukan bimbingan saya tetapi saya juga memerlukan bantuannya kerana ini adalah pe�ngalaman pertama kali buat kami berdua mengacarakan anugerah berprestij ini. Anugerah berprestij yang pernah saya kendalikan sebelum ini menjurus kepada muzik seperti Anugerah Juara Lagu.

“Anugerah Skrin bagi saya sedikit berbeza kerana ia disertai penggiat seni daripada industri perfileman. Sebagai pelakon tentunya Rozita lebih arif dan kenal dengan pelakon dan pihak produksi.

“Justeru, kami sebenarnya saling memerlukan. Bukan itu saja, dalam pengacaraan tidak boleh salah seorang lebih menyerlah kerana setiap pasangan pengacara perlu seimbang,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran dan sidang media ASK2011 yang dilangsungkan di Hotel Doubletree by Hilton, kelmarin, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen MPB, Ahmad Izham Omar; Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar; Produser ASK2011, Hamsiah Biri dan Ketua Pegawai Eksekutif Procter & Gamble Malaysia, Ellie Xie.

Mengenai pemilihan Rozita, Izham berkata, ketika melihat rakaman uji bakat, Rozita sebenarnya boleh mengacara dan kerana itulah diberi peluang penerbitan ASK2011.

“Ramai yang hadir ke uji bakat namun Rozita dilihat paling serasi bergandingan dengan Ally. Saya sendiri berpendapat padanan Rozita dan Ally ini satu gabungan unik dan semestinya juga memberi satu kelainan.

“Mungkin pada hari ini, dia (Rozita) kelihatan sedikit gugup namun saya percaya proses latihan yang bakal dijalani dapat membantunya agar lebih berkeyakinan. Gandingan personaliti kami dengan artis seperti diperkenalkan sebelum ini, nyata mendapat maklum balas yang baik,” katanya.

Jika Ally dan Rozita mengemudikan majlis penganugerahan, Adzriefaiz Adzlan (Faiz) dan Nabila Huda bersama Juara Hos Bintang Pantene akan mengendalikan acara Karpet Merah.

Masuk tahun kesembilan penganjurannya dan mendapat tajaan Pantene, Anugerah Skrin yang dianjurkan sejak 1994 bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni dan karyawan tanah air.

Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur juga turut menjemput stesen televisyen RTM dan Astro untuk sama-sama menyertai anugerah berprestij ini.

ASK2011 yang bertemakan Golden Glamour, akan mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman serta 2 Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene

0 comments:

Post a Comment

Followers